Secebis Kenangan di Taman Sinar Harapan


Bersendiri di ‘library’ pagi ini dengan suasana yang dingin dan tenang, hanya suara dari ‘aircond’ sahaja yang memecah kesunyian. Terdetik pula di hati ingin menulis sesuatu yang mungkin boleh aku katakan ianya adalah perkara yang baru dalam hidup aku.

          Pada hari Ahad, 28 Februari 2015 Masihi bersamaan 9 Jamadil awal 1436 Hijrah yang lalu, aku telah menyertai satu program yang diberi nama Bakti Siswa, anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Malaysia Terengganu. Program ini telah membawa aku ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu iaitu satu pusat penjagaan kanak-kanak OKU (orang kurang upaya). Lebih kurang jam 8.30 pagi, kaki aku telah pun berada di hadapan pagar pusat penjagaan tersebut. Dalam hati tercalit satu rasa yang sukar untuk aku mengertikan, senyuman yang aku ukirkan pagi itu terasa sungguh menyampahkan, plastik. Kaki melangkah perlahan dan kemudian terus ke dewan untuk sesi taklimat yang bakal disampaikan oleh wakil Taman Sinar Harapan. Semasa berjalannya sesi taklimat, fokus dan fikiran ku sedikit lari daripada taklimat yang disampaikan oleh En. Nik Mohd Yusoff bin Nik Mohd, wakil dari Taman Sinar Harapan itu selepas aku terdengar suara kanak-kanak istimewa itu dari luar dewan. Takutkah aku sebenarnya? Tapi bukankah mereka juga makhluk Tuhan, ciptaan Allah Yang Maha Pencipta Lagi Maha Bijaksana? Dan bukankah di setiap penciptaan itu ada terselit seribu hikmah?

          Selesai sudah taklimat, dengan perlahan-lahan kaki melangkah ke asrama mereka, degupan jantung yang seakan menaik dan menurun pada kala yang aku boleh katakan, bukan kadar degupan jantung yang normal. Setibanya, suara teriakan mesra dan kegembiraan mereka di atas kedatangan aku dan rakan-rakan lain telah menggugurkan jantung aku yang hampir nak tercabut tadi. Pelukan dengan keterujaan mereka; aku menjadi sangat ‘awkward’ dan hilang diri sendiri seketika, tertanya-tanya, bagaimana aku hendak ‘approached’ mereka. Atau lebih tepat, bagaimana aku hendak mendekati dan memahami mereka. Aku yang pada kebiasaannya ceria bila berjumpa orang yang pertama kali jumpa dan kini aku menjadi orang yang sungguh pendiam dan terkelu seribu bahasa. Engsel-engsel di tubuh aku seperti terkunci seketika dan kaku beku. Ya, aku kaku. Mungkin jantung yang gugur tadi masih tak terpasang semula lagi. Akal di bawah sedar memberi isyarat ke sel-sel neuron untuk cuba bertenang dan menarik seberapa banyak oksigen yang termampu melalui lubang hidung. Pada aku, keadaan fizikal sesetengah mereka rasanya tak perlu untuk aku menilai ataupun bercerita panjang tapi yang penting adalah aku, berani manakah aku untuk menyentuh mereka seperti aku menyentuh adik sedarah aku? Dan seikhlas apakah untuk aku memberikan senyuman dan kasih sayang aku kepada mereka?

          Setelah beberapa minit aku cuba membiasakan diri dengan keadaan sebegitu, hati aku mula tertarik dengan dua pasangan kembar yang aku kira umurnya lebih kurang adik kandung aku yang selalu aku rindu. Sepasang kembar daripada keturunan Melayu dan sepasang lagi daripada keturunan India Malaysia. Fizikal kelihatan sempurna tetapi siapa sangka corak dan gaya pemikiran mereka ataupun sejarah hidup mereka pula — dan tidak juga aku mahu mengatakan mereka tidak sempurna. Aku cuba bermain dengan mereka seperti aku bermain dengan adik aku sendiri; syurkur mereka gembira. Kecewa. Itu perasaan yang hadir saat aku melangkah keluar dari asrama mereka. Kecewakah ibu bapa mereka beranakkan mereka? Aku biarkan satu soalan tanpa jawapan. Untuk bercerita panjang bersertakan kaitan agama, tidaklah setinggi mana pun didikan agama aku tetapi untuk memahami dosa pahala syurga neraka, masih ada la di dada. Kemudian, aku keluar dari asrama itu bagi mengenali OKU yang lain. Sepertinya ada OKU dewasa yang di tempatkan sementara di pusat penjagaan itu atas sebab-sebab tertentu. Pastinya, bukan sesuatu yang mudah untuk aku mendekati mereka. Aku berjalan dan terus berjalan di sekitar taman, melihat rakan-rakan lain yang bermain dan berbual dengan sesetengah mereka. Jalan ku terhenti apabila aku melihat sahabat akrab ku berbual dengan salah seorang OKU dari pusat penjagaan itu. Aku berhenti dan cuba belajar gerangan apakah caranya untuk mendekati mereka. Ternyata tiada banyak beza pun dengan cara kita mendekati rakan baru yang fizikalnya sempurna. Yang penting adalah mata dan fikiran kita dengan bagaimana melihat mereka. Melihat dengan mata hati ataupun melihat dengan keegoan yang tak terperi. Ya, akal fikiran yang waraslah penentu segala gerak geri.

          Kemudiannya, aku menemui dan mengenali seorang kanak-kanak istimewa ini, bernama Salwani, panggil Wani, berasal dari Kota Bahru. Orangnya petah bercakap, suka menyanyi dan menari, aktif, berumur 14 tahun tetapi fizikal dan fikirannya tidak menunjukkan dia seumur itu. Dia memakai barang kemas dan apabila ditanya, katanya, rantai, cincin dan segala barang kemas itu, ibu kandungnya yang beri. Dengan segala ceritanya yang tunggang terbalik, aku cuba fahami dengan naluri insani, yang dapat ku fahami, Wani berasal dari keluarga yang bercerai-berai dan selepas kematian bapa kandungnya, dia tinggal dengan ibu dan bapa tiri dia. Bagaimana dia boleh berada di pusat penjagaan itu, katanya, dia tak dapat mengingatinya. Apa yang Wani beritahu aku, dia baru-baru sahaja berada di pusat penjagaan itu. Untuk maklumat yang lebih pasti sepatutnya, aku boleh sahaja mendapatkan biodata dia di kaunter penjaga asrama tetapi keseronokkan melayan dia membuatkan aku terlupa perihal itu. Sepanjang program dari pagi sampai petang aku bersama dia. Pada sesetengah perkara seperti melipat origami kapal dan roket, Wani dapat mengingat dan membuatnya dengan cukup baik. Katanya, bapa dia yang mengajarnya dengan wajah yang cukup bangga. Sesuatu yang aku sedari juga, Wani sering berkata-kata kesat, jadi, mungkin pembaca boleh meramalkan gerangan apakah hidup sekeliling Wani sebelum ini.

          Selain Wani, seorang lagi kanak-kanak yang menarik perhatian aku adalah Khadijah. Seorang yang lemah lembut dan pemalu. Khadijah tidak bersama aku dari awal slot program bermula, aku mengenali dia semasa slot program petang itu. Aku menyedari yang di mana langkah Khadijah tidaklah sesempurna senyuman dia. Berdiri dan larinya dia juga tidak seimbang tetapi cukup berdikari. Ketika kawan-kawan dia berdiri dan cuba menerbangkan roket harapan, dia menolak untuk melakukan itu dan berasa malu. Dia malu ketika aku bertanyakan cita-cita atau harapan dia. Bila terdapat rakan ku yang bertanyakan soalan yang sama kepada dia, dia juga tertunduk malu dan berkata, dia tiada apa-apa harapan ataupun cita-cita. Niat di hatiku sekadar ingin memberi semangat kepada dia dengan aku mengatakan, ‘cita-cita Khadijah nak jadi wanita solehah kan, biar Allah sayang’. Dia hanya senyum, angguk dan tertunduk malu. Aku mengalihkan pandangan ke Wani sebentar, untuk melihat keseronokan dia bermain roket kertas harapan. Bila aku toleh semula ke Khadijah, aku melihat matanya berkaca. Aku bertanya kenapa tetapi jawabnya, dia mengantuk. Namun apa yang aku sedari adalah sebaliknya kerana kepura-puraan dia menguap jelas ternampak di wajah mulusnya. Aku terdiam. Kagum. Ketabahan yang luar biasa, tertutup kekurangan semua dengan senyuman mesra, ikhlas dan percuma. Khadijah juga kanak-kanak yang sungguh baik dan aku terasa sangat menyayangi dia terutama sikapnya yang lemah lembut yang dimilikinya. Pada aku, Khadijah cukup sempurna.  Moga Allah merahmati dia juga kanak-kanak OKU yang lainnya.

Ketika Wani syok bermain roket kertas tu, tiba-tiba roket dia hilang di sebalik kanak-kanak OKU lain yang bermain berhampiran dengan tempat dimana Khadijah duduk lantas, Wani menuduh Khadijah yang mengambil roket dia. Pada mulanya, Khadijah menegaskan yang roket yang dia pegang itu adalah roket milik dia sendiri; lantaran dia kata dia tidak mempunyai apa-apa impian jadi, dia tidak menerbangkan roket itu. Aku saksi, roket itu memang roket milik Khadijah sebab roket Wani tu, aku yang buatkan jadi, aku tahu la hasil tangan aku. Bila Khadijah tidak mengaku yang dia mengambil roket Wani, Wani telah pun memarahi Khadijah dan berkata ayat-ayat yang kesat ke Khadijah dan seram juga aku bila Wani hampir memukul Khadijah. Lalu, aku menegur Wani supaya bersabar dan istighfar tetapi tak mudah juga sebenarnya untuk melembutkan Wani. Walaupun Khadijah ada juga mengalah dengan cuba memberikan roket dia ke Wani. Mungkin juga Wani cemburu aku melayan Khadijah dan dia juga ternampak dari jauh yang aku ada mengangkat Khadijah bagi menjauhkan Khadijah daripada kanak-kanak OKU lain yang ingin bermain roket kertas harapan. Sikap Khadijah yang mudah mengalah dan tidak suka akan pergaduhan telah menambat hati aku. Syukur juga rajuk Wani akhirnya terpujuk apabila ahli jawatankuasa multimedia memainkan video menari Gummy Bear. Aku menari dengan Wani seriang dan seikhlas yang boleh. Ketawa gembira dia akhirnya melegakan hati aku.

Pada aku, bercerita tentang pengalaman itu sebenarnya sesuatu pembelajaran untuk diri aku sendiri sentiasa ingat akan apa yang aku dapat dan pada aku juga ia adalah satu galakkan kepada orang lain untuk melalui sendiri pengalaman itu kerana sesuatu pengalaman itu mengajar seseorang dalam pelbagai makna yang berbeza-beza. Yalah, yang membezakan seseorang itu dengan yang lain kan, adalah pengalaman dan kenangan yang pernah dilalui dan dimilikinya. Jadi, pada aku, banyak sebenarnya isi-isi dan nilai-nilai penting yang aku dapat daripada program Bakti Siswa di Taman Sinar Harapan ini. Oleh itu, diharapkan program seperti ini akan diteruskan bukan sahaja untuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Universiti Malaysia Terengganu tetapi di universiti yang lain juga. Pendekatan kepada masyarakat itu perlu bagi memakmurkan sesuatu dunia. Dalam Al-Quran juga telah tercatat,
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan, (saling berbahagi kenal dan tahu). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.” (Surah al-Hujurat: 13).


-Smile-
kiri : Wani kanan: Khadijah 

Kasih sayang itu terpupuk dari lubuk hati yang paling jernih, redha dan ikhlas menerima apa adanya.

Comments

Popular posts from this blog

Sod Ba Ra

Beku

December